MeeAmri

Saya seorang usahawan perniagaan MLM bersama Syarikat DXN Marketing Sdn. Bhd. yang memberi perkhidmatan membantu dan menyokong semua orang untuk memulakan perniagaan secara kecilan dan sampingan dari rumah secara PERCUMA.

Friday, August 6, 2010

PERANCANGAN DAN TINDAKAN MENUJU DESTINASI


     Anda menerima jemputan untuk menghadiri satu majlis perkahwinan saudara terdekat di sebuah desa di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Anda yang berada di pulau Pinang memang berniat untuk menghadirinya malahan mempunyai beberapa hari  cuti  dan sambil menghadiri majlis tersebut, juga mahu melancong ke sana. Bagaimanakah anda akan melakukannya?.
     Mungkin begini.
     Pertama:  Anda tentu mahu  pergi dengan kereta sendiri untuk memudahkan perjalanan berbanding dengan memilih bentuk pengangkutan lain.
     Kedua: Anda perlu mendapatkan maklumat dan peta jalan yang betul untuk sampai ke destinasi anda itu. Anda perlu membuat pilihan jalan yang paling dekat, selesa dan lebih selamat dari beberapa jalan yang sedia ada.
     Ketiga: Anda perlu membuat persediaan bekalan, peralatan dan perbelanjaan yang mencukupi untuk dibawa bersama anda sepanjang percutian tersebut supaya perjalanan anda nanti tidak tergendala.
     Keempat: Anda perlu tahu beberapa buah bandar  dan tempat-tempat tertentu yang perlu anda lalui dalam perjalanan untuk sampai ke destinasi akhir anda nanti.
     Langkah pertama apabila Anda memasuki kereta untuk memulakan perjalanan, anda perlu telah sedia menetapkan destinasi pertama anda (andaikan ke bandar Gerik, Hulu Perak ). Jika anda tidak sampai ke Gerik, impian dan harapan anda untuk sampai Ke Pantai  Timur mungkin tidak kesampaian. Selepas melepasi bandar Gerik, anda akan menuju dan perlu sampai ke destinasi kedua ( bandar Jeli), destinasi ketiga dan seterusnya sehingga sampai ke destinasi akhir anda.
     Walaupun kenderaan anda berkuasa besar, bergerak dengan gear automatik dan di lengkapi dengan peralatan bantuan moden, anda masih perlu memegang stereng dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada jalanraya yang anda lalui supaya perjalanan anda selamat. Anda tidak boleh meletakkan sepenuhnya tugasan kepada alat bantuan tersebut untuk membawa anda sampai ke destinasi.
     Akhirnya, anda tidak akan sampai ke destinasi yang ditetapkan sekiranya hanya merancang dan tidak memulakan perjalanan. Pemanduan anda tidaklah perlu “perfect” dan mesti sampai pada masa yang ditetapkan. Mungkin anda perlu berehat lebih lama di sesuatu tempat untuk menghilangkan penat lelah memandu dalam perjalanan yang panjang.
     Di sepanjang perjalanan itu, janganlah terlalu memikirkan untuk sampai ke destinasi sahaja tetapi cubalah melihat keluar tingkap untuk menikmati kepelbagaian pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan tersebut. Ini akan melenyapkan kebosanan menuju ke destinasi anda.
     Begitulah juga dengan destinasi untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kita sendiri. Perancangan dan tindakan yang bersepadu adalah penting untuk merealisasikan impian.
     Selamat Berusaha dan Selamat Maju Jaya.
     Semuga Allah memberkati segala usaha kita.