MeeAmri

Saya seorang usahawan perniagaan MLM bersama Syarikat DXN Marketing Sdn. Bhd. yang memberi perkhidmatan membantu dan menyokong semua orang untuk memulakan perniagaan secara kecilan dan sampingan dari rumah secara PERCUMA.

Wednesday, November 10, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (17) - BERCAKAP VS BERUSAHA...


    Berapa banyak kali anda mendengar seseorang memberitahu anda tentang perkara-perkara yang mahu mereka lakukan tetapi berakhir dengan tidak melakukan apa-apa. Ramai orang yang tergolong di dalam kategori ini yang dikenali sebagai  “cakap banyak, usaha tiada (CaBuT)”.

   Hasrat yang baik dan tinggi menggunung tidak bermakna. Hasrat sahaja tidak memberikan hasil dan di dunia ini ramai orang mempunyai hasrat yang baik. Dalam jangka masa tertentu, mungkin dalam waktu yang agak lama, ada orang yang akan tersedar mereka terperangkap dalam situasi (CaBuT) yang tidak memberi kemajuan dan makna dalam kehidupan lalu mereka berubah untuk memilih stesen yang berlainan iaitu ‘ cakap sedikit, usaha berhasil” ( CaSH)”.

    Ramai orang ada kebolehan dan kemahiran  berhujah tetapi mereka ini cacat dengan penyakit bercakap dan berfikir tentang  sesuatu perkara berulang-ulang, berulang-ulang  banyak kali. Saya harap anda faham maksudnya.

    Seorang Pemenang lebih banyak bertindak dari berfikir, mereka bergerak dengan ilmu yang mereka ada. Mereka kurang menghabiskan masa berbual kosong. Anda perhatikan bahawa mereka ini sangat kurang dan tidak pandai bercakap  tetapi lebih  gemar  berusaha dan mencipta hasil  kemenangan.

    Pemenang boleh menguasai diri dan keadaan, mampu membuat keputusan dengan segera dan lebih penting lagi bertindak  dengan pantas. Cuba anda bandingkan dengan mereka yang mempunyai pendekatan “melihat dari tepi gelanggang” dan mengharapkan  kejayaan. Sememangnya setiap pemenang juga mengharapkan yang terbaik tetapi harapan mereka mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menjadi kenyataan berkat usaha yang mereka jalankan.

    Tunggu dan lihat bukanlah aksi seorang  Pemenang.

    Nilai sebenar setiap ilmu dan pengalaman bergantung kepada tindakan yang anda lakukan.

#(31)

Friday, October 1, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (16) - MEDAN PEPERANGAN

   Semasa berbual dengan seorang rakan tentang keadaan ekonomi semasa, kami bersetuju bahawa keadaan semasa adalah sukar tetapi peluang masih terbuka dan ianya hadir di dalam bentuk berlainan dan mungkin dalam bidang berbeza.

   " Kehidupan ini bukanlah seperti tinggal di hotel, ianya adalah medan perperangan dan kita perlu terus berlawan sepanjang hidup. Jika kita mengharapkan kita akan diberikan nikmat layanan hotel 5 bintang tanpa berusaha, ianya hanyalah angan-angan" beliau memberitahu.

   Saya percaya cakap beliau. Kehidupan ini adalah satu medan perperangan dan kita perlu sentiasa bersedia dan aktif. Apabila kita menyangka kita tahu apa yang akan berlaku, perkara yang sebaliknya pula terjadi. Kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku esok hari. Lebih penting lagi, kita perlu menghadapi cabaran, dan menghadapinya dengan sikap positif dan bertindak secara efektif. Kita tidak boleh mengharapkan sesuatu itu datang kepada kita tetapi kitalah yang perlu pergi mendapatkannya.

   Pemenang tahu bahawa kehidupan ini adalah satu medan perperangan dan mereka faham bahawa pasti ada cabaran dan halangan yang disedari dan tidak disedari akan hadir.

   Kehidupan penuh dengan cabaran, hadapilah dengan senyuman segala cabaran dan kesukaran yang datang. Jika kita menerima dan menempuh situasi yang menyukarkan, pastikan kita adalah orang yang mampu menanganinya. Percayalah setiap kesukaran yang datang pasti ada jalan penyelesaian, walaupun kita merasa tertekan dengan situasi tersebut.

   Ada masanya kita mengharapkan usaha kita akan terus membawa kita ke kemuncak kerjaya tetapi disebabkan masalah teknikal, kita tersangkut di dataran sehinggalah kita boleh mencari penyelesian kepada masalah tersebut yang membolehkan kita meluru terus ke kemuncak kejayaan dengan kemahuan dan fokus untuk sampai ke kemuncak tersebut.

  Melalui cabaranlah pemikiran pemenang akan berkembang. Dengan adanya cabaran, pemenang akan berfikir kritis. Melalui cabaran kita boleh menukarkan impian menjadi kenyataan. Melalui cabaran, pemenang akan mula menjadi pemimpin. Kerana cabaran, pemenang menongkah arus menuju kejayaan. Tidak ada perkara lain yang lebih manis dari kemenangan lebih-lebih lagi bila harapan untuk berjaya adalah tipis.

   Walau dalam bidang apapun, mulalah bersiap sedia untuk ke medan perperangan. Jangkakan cabaran dan terimalah ianya dengan hati dan minda terbuka. Ini adalah permainan untuk kehidupan sendiri dan ia tidak menyediakan hotel 5 bintang.

Sunday, September 5, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (15)- BERJANJI KEPADA DIRI SENDIRI

   Satu masa dulu, saya pernah menulis sesuatu untuk diri saya sendiri. "Saya akan menang kerana saya tidak pernah menyerah kalah". Ini bukan bermakna saya lebih baik dari orang lain, bukan kerana saya lebih bijak dari orang lain dan bukan juga kerana saya mempunyai lebih banyak sumber dari orang lain. Ia hanyalah kerana saya sanggup bertahan lebih lama selepas orang lain pergi meninggalkan arena perjuangan. Saya akan terus berdiri dan berusaha untuk melihat impian  menjadi kenyataan sehingga ke titik akhir perjuangan .

   Setiap orang lain di sekeliling kita mahu mencapai matlamat dan impian mereka,   malangnya mereka mudah mengalah apabila keadaan menjadi sukar. Apabila keadaan menjadi sukar, kita sepatutnya lebih cekal untuk meneruskan perjuangan. Apabila keadaan menjadi sukar, kita mesti ingat bahawa perjuangan dalam kehidupan bukanlah mudah dan selesa. Jika ianya mudah, semua orang pasti cemerlang. Ia merupakan perjuangan yang memerlukan kekuatan minda. 

   Kita tidak perlu menjadi calon yang paling layak dan bertenaga untuk menjadi pemenang, kita hanya perlu bertahan lebih lama dari pesaing lain dan bertekad untuk tidak berputus asa.

   Setiap pemenang telah berjanji kepada diri sendiri samada secara peribadi atau kepada pihak umum untuk tidak sekali-kali menyerah kalah walau apapun terjadi. Mereka telah menetapkan matlamat dan tidak akan berhenti berusaha sehingga mereka mencapai matlamat tersebut. Ia mungkin mengambil masa lebih lama dari jangkaan, mungkin terpaksa menempuh lebih banyak cabaraan, mungkin terpaksa mencari jalan alternatif tetapi walau apapun terjadi mereka komited kepada janji dan tidak akan memungkirinya.

   Walau apapun matlamat yang mahu dicapai dalam kehidupan ini, berjanjilah untuk meneruskan usaha untuk merealisasikan matlamat tersebut. Berjanjilah untuk tidak  berpurtus asa. Jika kegagalan bukanlah pilihan dan hanya kejayaan asahaja dalah  satu-satunya pilihan, kita pasti akan berjaya.

   Setiap pemenang yang saya kenal terpaksa bertahan lebih lama, bergerak lebih jauh dan mengatasi kebijaksanaan pesaing-pesaing mereka. Pemenang mempunyai ketabahan hati untuk berusaha dan melihat diri mereka  sampai ke garisan penamat dalam perlumbaan yang mereka telah mulakan.  Biasa kita melihat  orang yang membaca sebuah buku tetapi tidak menamatkan pembacaan. Statistik menunjukkan 75 % pembaca tidak akan menamatkan pembacaan. Biarlah kita menjadi di antara 25 % orang yang menyelesaikan setiap usaha sehingga ke garisan penamat.

   Pemenang hanya ada satu jalan keluar. Ia bukanlah dengan tunduk mengalah kepada sebarang cabaran atau alasan. Jalan keluar mereka ialah mencapai kejayaan dalam usaha yang telah mereka tetapkan denan mengharapkan pertolongan Tuhan.

   Untuk menjadi seorang pemenang dalam mana-mana aspek kehidupan ini, Perkara pertama yang kita perlu buat ialah berjanji kepada diri sendiri.

   Berjanjilah untuk berusaha tanpa jemu, tanpa bosan, tanpa putus asa sehingga kejayaan menjadi kenyataan.   

Friday, September 3, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (14)- BISIKAN HATI.

   Adakah kita mempunyai pancaindera keenam?. 

   Kita akan bertindak secara spontan jika tangan kita terkena benda yang panas atau sejuk. Kita secara automatik akan menarik tangan kita yang terkena pada cerek air yang panas. Inilah pancaindera keenam...

   Pancaindera keenam yang kita miliki ialah Gerak Hati. Ia biasanya akan memberi isyarat samada kita mahu melakukan sesuatu atau sebaliknya. Ianya mungkin satu perasaan yang menyatakan " perkara ini baik" atau gerak hati yang menyatakan " berwaspada memandu di kawasan ini" atau bisikan hati yang menyatakan 
" berhati-hati dengan orang ini".

   Pemenang mempunyai kesedaran dan kefahaman untuk menerimapakai gerak hati mereka sendiri. Jika bisikan hati mereka memberi iyarat "ambillah peluang ini ", maka itulah yang mereka lakukan. Apabila kita berdepan dengan kekeliruan samada mahu melakukan sesuatu atau tidak, berpandu kepada rasa hati biasanya lebih tepat dan membantu.Ikutlah gerak hati sendiri apabila kita tidak dapat membuat satu keputusan atau berdepan dengan berbagai cadangan yang tidak memihak kepada kehendak kita sendiri.

   Berikan perhatian kepada cadangan dan kritikan dari pihak lain dalam sesuatu hal tetapi sebagaimana seorang pemenang biasa lakukan, ikutlah gerak hati kita sendiri dalam membuat keputusan.

   Saya selalu meresakan bisikan hati saya adalah betul. Saya yakin anda semua juga begitu.


Wednesday, September 1, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (13)- SETIAP BENDA ADA HARGA.

   Setiap benda atau perkara ada harganya. 

   Hal ini sudah diketahui umum dan ramai yang ada kefahaman mendalam tentang perkara ini. Dalam perkara ini, ramai juga orang yang tidak sedar mereka juga terpaksa membayar harga yang setimpal kerana mereka tidak mahu membayar harga untuk melakukan sesuatu yang baik untuk kemajuan diri sendiri.

   Harga yang terpaksa di bayar untuk memajukan kerjaya, mungkin terpaksa mengurangkan masa menonton tv atau bersiar-siar di waktu petang. Harga yang terpaksa dibayar oleh pelajar-pelajar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang mungkin terpaksa kurangkan masa bermain bola atau game komputer. Harga yang perlu dibayar untuk menguruskan badan ialah terpaksa banyak bersenam dan mengawal makanan.

   Mari kita ambil contoh satu matlamat untuk mencapai status Star Diamond DXN dalam masa 1 tahun dengan pendapatan bulanan RM 3,000 sebulan.

   Harga yang terpaksa dibayar ialah: 

   Mengurangkan masa menonton tv. Kurang masa untuk bersiar-siar bersama keluarga di hujung minggu, perlu menghadiri latihan dan seminar, terpaksa keluar membuat aktiviti, kurang masa rehat dan masa tidur, keluarkan wang untuk menjalankan aktiviti, menangguhkan sementara kemahuan untuk membeli barang-barang kegemaran dan menukar cara berfikir serta membina keyakinan diri.

   Harga yang dibayar kerana gagal mencapai matlamat Star Diamond DXN dalam masa satu tahun:

   Rasa bersalah, tidak puas hati, rasa rendah diri dan kurang keyakinan diri, sedih, marah, menyesal, menyalahkan diri sendiri atau pihak lain dan tiada pendapatan RM 3,000 setiap bulan.

   Apabila telah membuat perbandingan sewajarnya, maka nilailah, antara bertindak atau tidak bertindak apa harga yang lebih tinggi perlu dibayar? harga mana lebih susah? harga mana lebih menyakitkan? harga mana boleh mengubah kehidupan?. Adakah mengambil tindakan atau tidak mengambil tindakan adalah lebih baik dan menguntungkan. Tindakan manakah yang memberi lebih kepuasan diri  dalam jangka panjang. Pilihan manakah akan membawa kegembiraan dan kepuasan. 

   Seorang Pemenang akan memilih untuk membuat pengorbanan yang bijak.

   Kita perlu sedar harga yang terpaksa kita bayar apabila membuat keputusan samada bertindak atau tidak bertindak. Fahami harga yang perlu dibayar untuk setiap pilihan dan buatlah keputusan yang sebaiknya tentang apa yang perlu dilakukan. 

   Jika kita berfikir dengan penuh kesedaran untuk membayar harga di antara keduanya, kita akan mengakui  bahawa kita tidak boleh hanya berpeluh tubuh dan tidak melakukan apa-apa.

   Apabila mahu membuat pengorbanan, pastikan ianya adalah pengorbanan yang menguntungkan.    

Monday, August 30, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (12)- PERCAYALAH...

   Manusia ini memang unik. Ada orang yang berfikir mereka tidak pandai tetapi merasakan semua orang lain pandai. Mereka rasa tidak ada kemampuan dan kebolehan tetapi berfikir orang lain ada. Mereka mengakui mereka tidak melakukan usaha yang sepatutnya untuk menikmati kejayaan dan kegembiraan tetapi mengharapkan kehidupan ini memberi mereka peluang utnuk menikmati kejayaan dan kebahagiaan.

   Ada orang yang merasakan mereka ada hak untuk menikmati kehidupan yang terbaik. Anda perlu percaya terlebih dulu sebelum boleh merasakan kehidupan yang baik itu, Tembok halangan di hadapan anda tidak akan runtuh sehinggalah anda mengubah kepercayaan anda sendiri.

   Percayalah kepada diri sendiri. Percayalah kepada kebolehan, keunikan dan percayalah ada sesuatu yang istimewa tentang diri anda. Percayalah anda dilahirkan Tuhan dengan sebab tertentu, anda ada tugas dan tanggungjawab yang perlu disempurnakan.

   Anda perlu percaya kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengharapkan orang lain percaya kepada  diri anda.

   Seorang pemenang sebenarnya telah lama percaya mereka akan berjaya sebelum mereka menikmati kejayaan hasil usaha mereka. Seorang jutawan percaya mereka akan menjadi jutawan lama sebelum mereka mecapai status jutawan itu.

   Orang ramai kan berpihak dan menyokong pemenang. Ini adalah sifat dan naluri semulajadi manusia. Corak fikiran dan tindakan orang ramai biasanya berasaskan gambaran atau petunjuk yang diberikan oleh seorang pemenang yang berjaya. Gambaran dan petunjuk yang diberikan oleh si pemenang pula adalah berasaskan kepercayaan kukuh kepada diri sendiri yang mereka miliki. 

   Anda akan melihat dan merasa nikmat hidup ini berdasarkan kepercayaan dalaman diri sendiri. Jika anda tidak percaya kepada diri sendiri, anda tidak boleh mengharapkan oleh lain mempercayai anda. Anda perlu dengar kepercayaan itu melalui suara dan melihat kepercayaan itu melalui gerak geri anda sendiri. Kepercayaanlah yang membuatkan anda berdiri tagak di hadapan ramai orang lain. Kepercayaan kepada diri sendiri inilah yang menjadikan anda sebuah mercutanda seperti rumah api di tengah lautan manusia di dunia ini.

   Jika kepercayaan kepada diri anda sendiri sudah kuat, teruskanlah berusaha. Walaupun tidak ada sokongan yang anda harapkan pada peringkat awal untuk menjayakan usaha, ramai orang lain akan mula menaruh kepercayaan dan menyokong anda di masa akan datang nanti.

   Dalam semua keadaan, ingatlah anda adalah unik dan mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk disempurnakan sewaktu hayat masih dikandung badan.  Percayalah.

Lihatlah dan percayalah kepada diri sendiri. Ramai orang lain di luar sana akan mengikut kemudian....

Sunday, August 29, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (11) - BIJAK /GENUIS.

   Walaupun ada banyak perkara di dalam dunia ini yang kita tidak tahu, kita masih boleh menikmati kehidupan yang mengembirakan dengan apa yang kita tahu dan disamping terus belajar sepanjang masa.

   Pemenang tahu mereka tidak perlulah mengetahui secara mendalam bagaimana sesuatu itu berfungsi. Memadailah jika mereka mengetahui yang sesuatu itu baik dan boleh digunakan dengan sebaik-baiknya, mereka akan gembira menggunakannya tanpa banyak soalan.

   Pemenag tahu adalah merugikan jika mahu mengambil tahu bagaimana dunia ini bergerak atau mengapa air laut itu masin atau  bagaimana kapal terbang berfungsi. Kecualilah mereka memang belajar atau bekerja di bidang tersebut. Pemenang juga tidak terlalu mengambil tahu bagaimana untuk mencapai kejayaan kecuali terus berusaha dengan gigih.

   Ramai daripada kita yang tidak tahu apa itu elektrik dan bagaimana ia berfungsi. Ramai juga tidak tahu bagaimana sebuah telefon bimbit atau bagaimana sebuah laptop berfungsi. Kita juga tidak tahu bagaimana e-mail, facebook dan tweeter serta banyak perkara lain di sekeliling kita berfungsi. Kita masih boleh dan gembira menggunakan itu semua setiap hari.

   Kesimpulannya ialah, kita tidak perlu mengetahui dan mahir tentang sesuatu sebelum mahu menggunakan atau menggerakkannya. Jika kita ada sebab yang kukuh, cara bagaimana menggunakannya dan mendapatkan faedah penggunaan sepenuhnya akan kita perolehi secara berperingkat semasa kita menggunakan sesuatu itu nanti dan mungkin kita menjadi rakan karib kepada produk itu nanti.

   Pemenang menggunakan benda yang berfungsi dan memberi faedah tanpa banyak kerenah. Jika benda tersebut boleh memberi faedah kepada ramai orang lain dan ia berfaedah kepada kita, gunakan benda tersebut sepenuhnya untuk memudah dan meringankan usaha kita.

   Pemenang membuat keputusan dan memulakan usaha berbekalkan apa yang mereka tahu dan ada. Ramai orang terlepas peluang atau tidak mahu menggunakan sesuatu kerana mereka tidak tahu dan mereka merasa mereka perlu tahu secara terpeinci bagaimana sesuatu itu boleh dimanfaatkan sebelum menggunakannya.

   Janganlah anda menjadi seperti mereka.

   Ambil peluang itu dan mula bergerak. Ada kemungkinan anda telah ada cukup atau lebih ilmu dan pengalaman yang diperlukan untuk membawa anda menuju ke destinasi. Apa yang anda tidak tahu, pasti akan anda pelajari dan perolehi semasa berusaha nanti. 

   Ingatlah, Anda tidak perlu menjadi bijak pandai atau genius untuk menggunakan apa-apa yang berfaedah di sekeliling anda.

Saturday, August 28, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (10)- KOMPLAIN.

Adakah anda perhatikan ada orang, setiap kali berjumpa, mereka akan komplain kepada anda tentang cuaca, tentang kehidupan, tentang duit, tentang anak-anak, tentang kawan-kawan, tentang ekonomi, tentang krisis kewangan dunia dan sebagainya lagi. 

Mereka membina satu sikap. Tukang komplain. 

Kebanyakan orang komplain tentang hidup dan bagaimanakah kehidupan mereka yang sepatutnya. Mereka ini juga adalah orang yang tidak melakukan sesuatu utnuk memajukan diri. Mereka membina kemahiran menjadi tukang komplain. Anda juga mungkin mempunyai pengalaman berkawan dengan mereka ini.

Sikap ini jauh berbeza dengan apa yang pemenang akan buat, mahu dan perlu. Komplain tidak bernilai langsung kepada pemenang.

Mengapa anda komplain?. Sebabnya anda tahu apa yang boleh dan perlu dilakukan, bagaimana anda boleh dan sepatutnya menikmati kehidupan, bagaimana anda boleh dan seharusnya memiliki apa yang anda mahukan, tetapi anda tidak memperolehinya. Itulah sebabnya anda komplain.

Sseeorang itu sepatutnya menyedari mereka perlu melakukan sesuatu untuk mencapai dan memiliki apa yang  dikehendaki.Mereka menyedari bahawa komplain tidak boleh mengubah apa-apa. Adalah lebih baik dan menjimatkan masa serta tenaga melakukan sesuatu yang baik daripada hanya bersungut.

Kehidupan kita adalah sepertimana kita merencanakan. Jika kita tidak berpuas hati dengan keberhasilan masa lampau, lakukan sesuatu sekarang. Anda menguasainya. Pemenang selalu sedar di mana mereka berada dan kemana arah tujuan mereka. Daripada menghabiskan masa yang panjang mengeluh dan merungut, pemenang beralih kepada melakukan perkara yang boleh mendekatkan mereka kepada kejayaan yang mereka harapkan. 

Kehidupan yang baik berpihak kepada sesiapa yang berusah, bukan seorang kaki komplain. Pemenang ialah orang yang berusaha. Jika anda tidak berpuas hati dengan keadaan yang anda rasai/ alami sekarang, buatlah sesuatu tentang perkara itu. 

Hentikan bersungut dan mulalah berusaha melakukan sesuatu. 



Friday, August 27, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (9) 168 JAM SEMINGGU

Saya cuba memberitahu sesuatu yang telah terang nyata.

24 jam sehari didarab dengan 7 hari ialah 168 jam seminggu.

Masa adalah anugerah Tuhan yang sama kepada setiap manusia. Bagaimanapun seorang pemenang boleh mencapai lebih banyak hasil dalam waktu tersebut berbanding dengan kebanyakan orang lain.

Sebagaimana kita faham, setelah ditolak 56 jam untuk tidur, ditambah beberapa jam untuk beberapa perkara lain termasuk di dalam bilik air, seseorang mempunyai 100 jam yang mereka beruasa sepenuhnya bagaimana untuk digunakan dengan sebaik-baiknya.

Perhatian saya kepada perkara yang benar ini hanyalah  untuk mengingatkan tentang masa 100 jam ini.

Apakah alasan anda untuk tidak melakukan sesuatu seperti menambahkan sedikit ilmu, memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, mengeratkan perhubungan dengan rakan dan sahabat dan mengembangkan rangkaian rakan sealiran yang boleh menyokong dan membantu anda untuk menjayakan matlamat hidup sendiri.

Tidak ada masa. Pemenang tahu ia bukanlah alasan. Mengapa?

Pemenang tahu apa yang penting kepada mereka dan pemenang memperuntukkan masa yang secukupnya untuk perkara yang penting terlebih dahulu. Pemenang tidak suka membazirkan masa melakukan perkara yang tidak berfaedah atau bertungkus lumus menyelesaikan kerja orang lain dan kemudian menyatakan mereka tidak ada masa. Pemenang memperuntukkan masa secukupnya untuk mengusahakan apa yang mustahak dan cuba mengelak membuang masa dengan perkara-perkara kurang berfaedah.

Cuba periksa ke mana perginya 100 jam milik anda. Kemudian tanyakan soalan-soalan berikut.

Adakah saya menggunakan masa sebaiknya untuk mengejar matlamat peribadi? Di manakah sepatutnya saya  letakkan lebih banyak masa saya?. Apakah perkara-perkara perlu saya kurangkan masanya?. 

Apakah keutamaan saya?. Jika saya tidak memperuntukkan masa secukupnya untuk mencapai sasaran matlamat saya, berapa lama lagikah saya harus terus membuang masa melakukan perkara yang tidak mendatangkan hasil?.

Jawapannya mudah. Begitu jugalah dengan keputusan bagaimana hendak menggunakan 100 jam masa milik anda itu.

Anda telah diingatkan. Tiada alasan lagi untuk membuang masa.

Thursday, August 26, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (8)- ILMU ADALAH KUASA

"Ilmu adalah kuasa...!!"

Jika ilmu adalah kuasa mengapakah ada orang yang kurang berilmu, kurang kemahiran malah kurang bakat daripada kita sendiri memcapai kejayaan?. Saya yakin anda ada rakan-rakan yang pandai, banyak ilmu dan mereka boleh memberitahu segala-galanya tentang sesuatu perkara. Sebahagian rakan lagi ada kemahiran yang tinggi malah ada yang sangat berbakat tetapi hasil yang mereka perolehi tidak setanding dengan ilmu yang mereka miliki. kita akui, mereka bukanlah pemenang dalam kehidupan.

Mungkin anda sendiri terfikir seseorang yang lebih berilmu, lebih berkemahiran dan lebih berpotensi ( mungkin juga diri anda sendiri ) lebih berhak untuk menang dan berjaya dalam kehidupan.

Jawapannya mudah...

Pemenang berusaha dan meraih kuasa melalui apa yang mereka ada, tidak hanya memikir-mikirkan tentang sesuatu yang mahu dilakukan. Ramai orang memberi alasan perlu terlebih dahulu meneliti sesuatu situasi untuk mencari masa yang sesuai untuk bertindak .

Ilmu pengetahuan tidak mencukupi. Apa yang kita miliki tidak bernilai dan pemenang adalah bijak untuk mengetahui yang kehidupan tidak memberi kejayaan kepada orang yang paling berbakat. Kejayaan adalah hak orang yang berusaha.

Pencapaian dan kejayaan bukanlah kerana apa yang anda tahu tetapi apa yang anda lakukan dengan apa yang anda tahu. Ia bukanlah kemahiran dan bakat semulajadi yang anda miliki tetapi bagaimana anda menggunakan apa yang anda miliki. Samalah jika kita memiliki jam tangan Rolex tetapi tidak memakainya atau memibeli kereta  Mercedes model terbaru tetapi hanya tersimpan di garaj dan tidak memandunya.  Terfikir dan terasa juga membazir, dan itulah yang kita lakukan dengan masa dan tenaga kita, membazir sahaja.

Mengetahui dan tidak menamalkan, memiliki dan tidak menggunakan adalah perbuatan tidak pandai (bodoh). Ilmu pengetahuan bukanlah kuasa tetapi berusaha dengan menggunakan ilmu pengetahuan adalah kuasa.

Pemenang memulakan usaha dengan menggunakan ilmu yang mereka ada.

Pemenang mula berlari dengan apa yang mereka miliki, jadi mulakan larian anda.

Monday, August 23, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (7) - KRITIKAN MARAKKAN SEMANGAT.

   Kita tidak boleh menghentikan dan melarikan diri dari komen dan kritikan ataupun kutukan. Apa sahaja yang kita lakukan pasti ada orang yang akan bercakap (memberi komen) tentangnya, walaupun mereka tidak tahu apa sebenarnya yang kita lakukan. 

   Pemenang sebenarnya ada kekuatan mental untuk membolehkan semua komen yang di buat mengenai diri mereka memarakkan lagi semangat mereka. Lebih banyak kritikan mereka dengar, lebih besar dan terang lagi semangat mereka. Mereka melihat kritikan sebagai "kayu yang memarakkan api" semangat dan menggalakkan mereka untuk terus berjuang.

   Pemanang mengambil setiap kritikan yang positif dan negatif mahupun menghina sebagai bahan bakar semangat untuk membaiki usaha mereka mencapai kejayaan.

  Pemenang menggunakan kritikan membina sebagai satu motivasi yang meningkatkan keyakinan diri untuk terus maju ke hadapan. Pemenang sebenarnya bijak menggunakan kritikan negatif sebagai satu sumber inspirasi kerana dengan kritikan negatif, mereka perlu membuktikan kejayaan mereka. Pemenang terlebih dahulu terpaksa membuktikan kepada diri sendiri yang mereka memang mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk mejayakan misi mereka. Dalam proses tersebut mereka juga akan membantu pengkritik -pengkritik negatif  menelan semula cakap-cakap mereka.

   Jangan ambil hati semua kritikan negatif sebagaimana yang selalu dilakukan oleh ramai orang lain. Orang biasa akan menggunakan kritikan negatif sebagai sebab untuk mengelak atau berhenti melakukan apa yang mahu dan sedang mereka lakukan. Mereka mudah terpengaruh dengan kritikan "penasihat tidak bertauliah" sehingga ianya berjaya memadamkan semangat mereka.

   Anda adalah pemilik kehidupan anda. Pemenang tahu bagaimana mahu memulangkan kritikan negatif kepada pemiliknya dengan membuktikan kejayaan mereka dengan pencapaian demi pencapaian yang membanggakan. Pemenang tidak membuang tenaga dan dan masa memikirkan kritikan dan terperangkap ke dalam satu pertelingkahan tidak berkesudahan sebaliknya mereka akan menumpukan perhatian untuk menjayakan misi mereka sendiri.

   Sebagai pemenang, jangan biarkan kritikan negatif mengganggu anda. Ibaratkan setiap kritikan sebagai kayu api yang akan memarakkan lagi semangat anda untuk mencipta kejayaan. Satu hari nanti pengkritik-pengkritik akan nampak api kejayaan anda yang begitu besar dan terang sehingga mereka  masih boleh menghidu asapnya walaupun anda sudah berada jauh dari mereka.

   Carilah apa sahaja jalan dan sebab untuk memarakkan semangat anda.

   Saya juga berharap artikel artikel di sini akan membantu menyemarakkan semangat anda untuk terus berjuang menuju satu kehidupan yang cemerlang.

   Ingatlah, gunakan semua komen dan kritikan sebagai dorongan untuk membuktikan diri anda memang seorang pejuang dan pemenang. 

Thursday, August 19, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (6)- KITA ADA BANYAK PELUANG

Bila dikatakan kita ada banyak peluang, ramai orang berasa hairan. 

Peluang apa?. Kalaupun ada peluang, saya tidak boleh mengambil peluang itu kerana saya tidak mempunyai modal yang diperlukan, Saya tidak ada masa untuk mengusahakannya,  Saya tidak ada kemahiran  dan Saya tidak belajar dan tidak ada pengalaman dalam bidang tersebut.

Saya percaya kita boleh memberikan satu senarai sebab mengapa kita tidak dapat peluang atau lebih tepat lagi tidak ada peluang yang sesuai dengan diri kita.

Biarpun kita mahu memulakan perniagaan Pisang Goreng atau perniagaan MLM yang belum pernah kita lakukan sebelum ini atau menukar kerjaya sedia ada, atau memilih satu jenis kereta yang jadi idaman, ada ramai orang lain yang mengalami sitiuasi yang sama seperti kita tetapi telah berjaya melakukannya.

Biarlah saya tegaskan sekali lagi. Kita ada banyak peluang !!.

Sebenarnya, kita bukan kekurangan peluang tetapi kita kurang keyakinan. Pemenang menyedari peluang ada di mana-mana sahaja. Hanya kerana terdapat cabaran untuk menjayakannya, bukan bermakna kita perlu menutup mata dan pintu hati kepada peluang yang datang kepada kita.

Seorang yang berjiwa pemenang mungkin bukan seorang usahawan sekarang tetapi mereka bercita-cita untuk menjadi usahawan cemerlang satu hari nanti. Pemenang melihat lebih jauh dari kebolehan dan kemampuan mereka sekarang dan memberi tumpuan untuk menjadi usahawan. Mereka sedar perjalanan dan proses menuju ke matlamat tersebut akan membentuk mereka menjadi seorang yang boleh bertanding di peringkat tersebut.

Pemenang ada keyakinan. Mereka ada keyakinan untuk mengakui mereka tidak mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan apabila mula berusaha. Mereka akan menimba ilmu, menguasainya, mengamalkannya dan berusaha bersungguh-sungguh kerana mereka tahu apa yang mereka impikan berada di penghujung perjalanan itu . Mereka tidak mencipta alasan untuk menggagalkan usaha dan pencapaian  sendiri dan tidak menghiraukan sebanyak manapun sebab dan alasan yang diberikan oleh orang lain untuk menggagalkan mereka.

Yakin dan percayalah kepada diri sendiri. Yakinlah anda akan mampu melakukan apa yang perlu dan melalui proses untuk sampai ke matlamat  kecemerlangan. 

Kita perlu percaya dan kita tahu kita boleh melakukan apa yang perlu kita lakukan.

Tuesday, August 17, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (5)- PERMUDAH HAL RUMIT


  Biasalah jika kita mendengar orang berkata “ianya sukar” atau “ianya rumit”
  Berapa kalikah anda telah menggunakan perkataan sukar atau rumit sebagai kewajaran untuk tidak melakukan sesuatu.
  Sebagai manusia, memang kebiasaan semulajadi, kita selalu cuba untuk merumitkan keadaan. Manusia seronok merumitkan  keadaan untuk mempertahankan ego. Selalunya kita rasa bangga jika kita dapat mengatasi sesuatu keadaan yang sukar atau rumit. 
  Kehidupan tidak semestinya dirumitkan. Sesetengah orang sengaja mencari cara untuk menjadikan keadaan rumit  untuk mewajarkan peruntukan masa dan usaha untuk menampakan ianya seperti satu pencapaian. Apabila kita dalam keadaan ketakutan, tidak pasti atau tidak pernah mencuba sesuatu sebelum ini, kita akan merumitkan keadaan untuk dijadikan alasan yang baik  mengapa kita mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan untuk melakukan sesuatu ataupun lebih teruk lagi terus tidak melakukannya.
  Seorang pemenang melihat sesuatu itu pada keadaan yang sebenar. Tidak ada kerumitan, samada perkara baik atau buruk.
  Semuanya adalah mudah. Pemenang biasanya akan berkata “ianya mudah”
  Pemenang sedar bahawa untuk mendapat apa yang mereka hajatkan, mereka perlu melakukan beberapa perkara tertentu. Pemenang akan membuat keputusan dan terus mengikut proses untuk mencapai matlamat mereka.
  Kehidupan ini mungkin telah sedia rumit, mengapa kita perlu menambahkan kerumitan. Ia perkara yang tidak masuk akal, jika anda seorang pemenang.
  Pemenang tahu, kemudahan dan mempermudahkan adalah kuasa.  

Monday, August 16, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (4)- JAWAPAN ADA PADA DIRI SENDIRI

Ramai orang mencari dan mengharapkan penyelesaian mudah kepada persoalan yang mereka hadapi dari dunia luar di sekiling mereka. Apa yang boleh diperolehi dari dunia luar ialah panduan. Penyelesaian kepada setiap persoalan yang dihadapi sebenarnya terletak pada diri sendiri.

Pemenang bertanggungjawab kepada diri sendiri, tidak seperti mana majoriti orang ramai yang sentiasa mengeluh dan lebih teruk lagi menyalahkan pihak lain untuk setiap masalah dan kesukaran yang mereka hadapi.Adalah mudah untuk menuding jari kepada pihak lain tetapi seorang pemenang tahu bahawa mereka sendiri bertanggung jawab sepenuhnya kepada apa yang terjadi kepada mereka sendiri.

Pemenang mengutamakan tanggung jawab sebagai satu keperluan kerana itulah sahaja cara untuk menjadi juara dalam kehidupan ini.

Pilihlah untuk bertanggung jawab kepada setiap tindakan sendiri. Pilihlah untuk bertanggung jawab kepada setiap perkara yang terjadi dan pilihlah untuk bertanggung jawab kepada kehidupan sendiri. Pilihlah untuk bertanggung jawab pada setiap masa dan bukan pada masa dan perkara tertentu sahaja.

Dalam kehidupan ini kita diberi banyak pilihan. Pilihlah untuk menjadi yang terbaik dalam kerjaya yang dipilih. Jika kita masih belum menikmati kehidupan seperti yang diharapkan, tanyakan kepada diri sendiri " apakah yang perlu saya lakukan untuk memiliki kehidupan yang saya inginkan?"

Kita sendirilah yang menguasai diri kita, bukan orang lain. kuasailah diri sendiri dan fahami bahawa kebanyakan perkara yang berlaku adalah di bawah kuasa dan kawalan kita sendiri.

Pemenang merujuk dan mencari jawapan pada diri sendiri untuk meneroka ke dunia luar yang luas.

Friday, August 13, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (3)- HELLO, TUAN PRESIDEN.

Dalam menerajui misi kehidupan ini, ada Presiden yang mengendalikannya.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kita semua kerana walaupun kita bukan Presiden sesebuah negara atau Presiden kepada sebuah organisasi yang besar, kita adalah Presiden kepada diri kita sendiri.

Anda sendirilah yang menentukan bagaimana menguruskan diri sendiri dan bagaimana mahu bertindak balas kepada sesuatu perkara yang berlaku kepada dan di sekeliling anda.

Ini kehidupan kita sendiri. Ia hak kita dan tanggungjawab kita sendiri, bukan orang lain. Anda menanggung dan menjawab (tanggungjawab) samaada ianya baik atau buruk. Jika  kita mahu lebih yang baik dan kurang yang buruk, terpulanglah kepada diri sendiri untuk membuat keputusan dan tindakan.

Sebagaimana seorang Presiden sebuah negara, ada tanggungjawab bersama pangkat tersebut. Anda perlu menggunakan sepenuhnya semua sumber di dalam dan di sekeliling untuk memenuhi matlamat kebaikan. Ini bermakna, anda tidak tahu menggunakan segala sumber yang ada sekiranya anda masih hidup di bawah tahap susah dan miskin sebagaimana seorang Presiden sebuah negara tidak tahu menggunakan sumber semulajadi yang banyak di dalam negara dan tidak dimanfaatkan untuk kesejahteraan semua masyarakat.

Adakah anda mahu menjadi seorang Presiden yang diingati atau dilupakan?. 

Seorang Presiden yang diingati biasanya menghadapi banyak cabaran, lebih tepat lagi, bagaimana mereka menghadapi dan mengatasi  cabaran tersebut.

Anda dilahirkan dengan tangungjawab dan dan berhak menggunakan kesemua bakat dan kebolehan untuk mencipta kebaikan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi kebaikan sejagat.

Lihatlah ke dalam cermin dan lihatlah seorang Presiden dicermin itu.

Ada sesuatu yang anda boleh lakukan, untuk sebab dan kebaikan yang lebih bermakna, sesuatu yang lebih besar dari diri anda sendiri.

Carilah, dan lakukanlah untuk kebaikan.

Selamat maju jaya, Tuan Presiden !!

Thursday, August 12, 2010

RENCANA KEHIDUPAN (2)- USAHA LEBIH SEDIKIT SAHAJA.

    Ramai orang mempunyai persepsi bahawa orang berjaya atau pemenang memang dilahirkan dan telah ditakdirkan menjadi orang yang hebat.

    Seorang yang berjaya atau pemenang tahu hakikat yang mereka perlu  dan relahati melakukan lebih sedikit usaha. Mereka belajar lebih sedikit, mereka berilebih sedikit masa untuk melakukan usaha untuk mencapai matlamat, mereka bergerak lebih jauh sedikit, membuat lebih sedikit panggilan telefon, bercakap kepada lebih ramai orang. Apa yang biasa lakukan oleh orang biasa, pemenang akan melakukan lebih sedikit sahaja dari orang biasa. Tidak perlu terlalu banyak tetapi memadailah lebih sedikit sahaja.

    Seorang pemenang adalah orang biasa yang melakukan lebih sedikit usaha pada setiap masa.

     Tidak ada sesiapapun yang dilahirkan sebagai orang berjaya atau pemenang.seseorang itu menjadi pemenang  kerana mereka melakukan sesuatu yang perlu dilakukan, lebih sedikit dari orang biasa untuk menjadi pemenang. Usaha yang terkumpul ini akan memberi hasil kemenangan berbanding dengan usaha biasa oleh ramai orang lain.

    Pemenang melakukan lebih sedikit usaha pada setiap masa daripada orang biasa.

    Inilah kenyataan yang melayakkan pemenang berdiri dan disanjung sebagai juara di dalam satu kumpulan  orang ramai di arena yang sama.

    Semasa seorang pemenang melalui jalan yang telah mereka pilih, mereka juga menghadapi masalah dan cabaran. Mereka gunakan cabaran dan dugaan itu sebagai sesuatu yang perlu dipecahkan dengan berusaha lebih sedikit.

    Bila ada tembok penghalang,  tolaklah lebih kuat.
    Bila disekat,  gandakan usaha.
    Bila tidak diterima,  cari sumber lain.

    Jangan biarkan impian dicuri orang. Janganlah impian tinggal impian.

    Ingat, ia hanya memerlukan lebih sedikit usaha sahaja. 

    Usaha yang lebih sedikit inilah yang akan menjadikan anda seorang pemenang.



Wednesday, August 11, 2010

RENCANA KEHIDUPAN(1)- USAHA UNTUK BERJAYA.

Semua orang mahu berjaya. Untuk berjaya kita perlu berusaha. 

Semua orang mahu berjaya tetapi tidak ramai yang mahu berusaha untuk menjadi orang berjaya. inilah kepercayaan dan pegangan semua orang yang telah mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka. 

Kita tentu suka memiliki barangan yang mahal dan mewah, mahu melancong ke luar negara, cemerlang dalam kerjaya, menderma kepada masyarakat, mengharapkan satu ikatan persahabatan yang akrab, mempunyai kebebasan masa , memiliki sebuah entiti perniagaan yang besar dan maju dan sebagainya tetapi tidak ramai orang yang sanggup berusaha untuk merealisasikan semua itu. 

Orang berjaya memahami bahawa untuk mencapai matlamat dan impian, ada cara dan jalan yang tertentu untuk mencapainya dan mereka perlu melalui perjalanan tersebut. Orang berjaya menetapkan matlamat yang tertentu untuk diri sendiri dan sanggup melakukan perjalanan tersebut. 

Ramai orang menyangka perjalanan itu sukar, banyak rintangan dan menyakitkan. Ia memang ada benarnya tetapi Orang yang berjaya mengetahui bahawa ianya adalah satu proses dan mereka hanya perlu melalui jalan tersebut, satu perjalanan yang akan membawa mereka ke kemuncak kejayaan. 

Ramai orang yang memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk mencapai impian mereka tetapi mereka tidak bersungguh dalam mengusahakan sesuatu yang perlu mereka lakukan. kebanyakannya hanya berusaha separuh jalan dan akhirnya berhenti tanpa mencapai hasil usaha mereka. 

Walau apapun matlamat dan impian, kita harus memahami bahawa kita perlu berusaha dan berusaha dengan penuh keyakinan sehingga mencapai impian kita "walau apapun terjadi" dan kita hanya nampak sebuah impian yang kita miliki di hujung perjalanan kita nanti.

Friday, August 6, 2010

PERANCANGAN DAN TINDAKAN MENUJU DESTINASI


     Anda menerima jemputan untuk menghadiri satu majlis perkahwinan saudara terdekat di sebuah desa di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Anda yang berada di pulau Pinang memang berniat untuk menghadirinya malahan mempunyai beberapa hari  cuti  dan sambil menghadiri majlis tersebut, juga mahu melancong ke sana. Bagaimanakah anda akan melakukannya?.
     Mungkin begini.
     Pertama:  Anda tentu mahu  pergi dengan kereta sendiri untuk memudahkan perjalanan berbanding dengan memilih bentuk pengangkutan lain.
     Kedua: Anda perlu mendapatkan maklumat dan peta jalan yang betul untuk sampai ke destinasi anda itu. Anda perlu membuat pilihan jalan yang paling dekat, selesa dan lebih selamat dari beberapa jalan yang sedia ada.
     Ketiga: Anda perlu membuat persediaan bekalan, peralatan dan perbelanjaan yang mencukupi untuk dibawa bersama anda sepanjang percutian tersebut supaya perjalanan anda nanti tidak tergendala.
     Keempat: Anda perlu tahu beberapa buah bandar  dan tempat-tempat tertentu yang perlu anda lalui dalam perjalanan untuk sampai ke destinasi akhir anda nanti.
     Langkah pertama apabila Anda memasuki kereta untuk memulakan perjalanan, anda perlu telah sedia menetapkan destinasi pertama anda (andaikan ke bandar Gerik, Hulu Perak ). Jika anda tidak sampai ke Gerik, impian dan harapan anda untuk sampai Ke Pantai  Timur mungkin tidak kesampaian. Selepas melepasi bandar Gerik, anda akan menuju dan perlu sampai ke destinasi kedua ( bandar Jeli), destinasi ketiga dan seterusnya sehingga sampai ke destinasi akhir anda.
     Walaupun kenderaan anda berkuasa besar, bergerak dengan gear automatik dan di lengkapi dengan peralatan bantuan moden, anda masih perlu memegang stereng dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada jalanraya yang anda lalui supaya perjalanan anda selamat. Anda tidak boleh meletakkan sepenuhnya tugasan kepada alat bantuan tersebut untuk membawa anda sampai ke destinasi.
     Akhirnya, anda tidak akan sampai ke destinasi yang ditetapkan sekiranya hanya merancang dan tidak memulakan perjalanan. Pemanduan anda tidaklah perlu “perfect” dan mesti sampai pada masa yang ditetapkan. Mungkin anda perlu berehat lebih lama di sesuatu tempat untuk menghilangkan penat lelah memandu dalam perjalanan yang panjang.
     Di sepanjang perjalanan itu, janganlah terlalu memikirkan untuk sampai ke destinasi sahaja tetapi cubalah melihat keluar tingkap untuk menikmati kepelbagaian pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan tersebut. Ini akan melenyapkan kebosanan menuju ke destinasi anda.
     Begitulah juga dengan destinasi untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kita sendiri. Perancangan dan tindakan yang bersepadu adalah penting untuk merealisasikan impian.
     Selamat Berusaha dan Selamat Maju Jaya.
     Semuga Allah memberkati segala usaha kita.

Friday, May 21, 2010

23. KEPERCAYAAN TUNGAK KEHIDUPAN.

     Tidak susah untuk kita mempercayai orang lain ataupun sesuatu. Dengar sahaja sesuatu berita, kita rasa mahu mempercayainya walaupun belum tentu kesahihannya. Kepercayaan inilah yang menjadi intipati dn pengukur kehidupan seseorang. Ada orang yang mempercayai sesuatu benda walaupun secarik kain kuning atau tanda maupun mimpi boleh memberikan kebaikan atau keburukan kepada mereka.

     Kepercayaan secara umumnya bermaksud akuan akan benarnya terhadap sesuatu perkara. Biasanya, seseorang yang menaruh kepercayaan ke atas sesuatu pekara itu akan disertai oleh perasaan 'pasti' atau kepastian terhadap pekara yang berkenaan.

     Kepercayaan dalam konteks psikologi pula bermaksud suatu keadaan jiwa yang berkaitan dengan sikap berkedudukan memihak. Manakala dalam konteks agama pula, kepercayaan adalah sebahagian daripada batu asas pembangunan moral. 

     Tidak ramai orang yang percaya penuh kepada diri sendiri walaupun seseorang itu telah berjaya menempuh berbagai dugaan dan halangan dalam kehidupan. Ada yang menganggap sesuatu yang terjadi itu hanya nasib. Saya percaya dalam diri seseorang telah ada benih kehebatan. Ia bermula dengan matlamat dan impian. Benih kehebatan ini hanya perlu di pujuk dan disuburkan dengan merapatkan diri bersama orang yang berimpian dan pemenang serta memberikan minda meneroka kemungkinan-kemungkinan yang positif untuk merealisasikan impian mereka.

     Saya sendiri tidak percaya saya boleh mencapai dan duduk menikmati hasil kejayaan hingga ke tahap sekarang. Satu input besar yang menjadikan impian saya sebuah kenyataan ialah kepercayaan orang lain kepada saya. Penaja dan beberapa pemimpin lain menaruh kepercayaan dan memberikan sokongan dan melaburkan banyak masa mereka membantu saya untuk merealisasikan impian saya menjadi orang berjaya seperti mereka. Dalam usaha bisnes ini kita akan bertemu dengan dua golongan rakan kongsi iaitu mereka yang mahu berusaha dan mereka yang memberikan banyak alasan. Berikan tumpuan dan suburkan benih kehebatan untuk melakukan yang terbaik untuk menjadi seorang yang berjaya. 

     Tidak ada sesiapa boleh menjadikan kita orang yang berjaya. Seseorang itu mestilah mahu berjaya dan sanggup berusaha dan orang lain hanya boleh membantu orang yang mahu dan bukan yang hanya berharap dan meminta untuk berjaya. Janganlah kita menyamakan bisnes ini dengan satu badan kebajikan dengan membantu orang yang tidak mahu berusaha. Jika kita berjaya dalam bisnes, kita boleh menyumbang kepada banyak badan kebajikan.

     Kita biasa melihat ibu bapa memberikan perangsang dan membantu anak-anak tanpa menghiraukan kekurangan dan batasan anak itu. Mereka percaya anak itu boleh melakukan tugasan yang di hidangkan di hadapan mereka dengan cemerlang dan sanggup membantu mereka menyelesaikan tugasan itu dengan sedaya upaya.

     Begitulah sepatutnya kira lakukan kepada semua rakan kongsi kita yang mahu berjaya dan mahu berusaha. Kita harus memberikan perhatian dan melaburkan masa dan tenaga untuk menyokong apa sahaja aktiviti positif yang dilakukan oleh rakan kongsi kita.

     Kita boleh menggunakan berbagai kaedah komunikasi atau tindakan untuk menunjukkan kepercayaan kita kepada rakan kongsi. Rasa percaya dan ucapan percaya kepada rakan kongsi atau sebaliknya oleh rakan kongsi kepada kita sebagai pemimpin mereka tidak bermakna jika tidak ditunjukkan dalam bentuk tindakan. Kepercayaan tanpa tindakan tidak berguna dan tidak memberikan hasil.

     Walau bagaimanapun, Janganlah anda meletakkan kepercayaan dan menunggu orang lain melakukan sesuatu sehingga anda mengabaikan tugas dan tanggungjawab sendiri. Teruskan usaha dan jangan tunggu sesiapa. Biarlah rakan kongsi dan orang lain nampak kita sedang berusaha dengan gigih dan kita ada matlamat. Ini akan memperkukuhkan kepercayaan orang lain kepada kita.

     Pada waktu yang sama, percayalah kepada semua rakan kongsi. Ada rakan kongsi yang bermula dengan pantas dan cergas boleh hilang dalam masa beberapa bulan sahaja. Mungkin ada rakan kongsi yang bermula dengan perlahan dan serba kepayahan boleh manjadi pemimpin cemerlang. Jangan menghukum rakan kongsi terlalu awal. Kita perlu bersabar dengan setiap orang rakan kongsi tetapi tidak perlu bersabar dengan diri sendiri. Seperkara lagi: jangan dengar apa yang rakan kongsi kata mereka mahu lakukan tetapi lihatlah apa sebenarnya yang mereka lakukan.

Pengalaman peribadi:

     Saya perlu membuat dan menetapkan temujanji yang baru setiap hari tanpa perlu menunggu orang lain. Saya juga perlu memberitahu beberapa rakan kongsi saya percayakan mereka. Jika anda ada rakan kongsi, jangan tunggu lagi, telefon mereka sekarang dan nyatakan anda percaya kepada mereka.

Thursday, April 29, 2010

22. PENONTON ATAU PEMAIN


     Setiap permainan ada gelanggangnya. Untuk menjadi pemain dan bermain, kita harus masuk ke dalam gelanggang yang disediakan, merasa segala keseronokan, penat lelah dan susah payah di dalam permainan itu. Kita juga perlu mematuhi peraturan permainan sepenuhnya supaya tidak di keluarkan dari gelanggang permainan. Umpama bermain bola, kita harus berada di dalam gelanggang jika ingin berpeluang untuk menjaringkan gol. Jika kita menjadi penonton dan pengkritik, kita takkan merasai menjulang piala kemenangan. Pasukan A melawan pasukan B, salah satu pasukan akan menang tetapi bukan penonton atau pengkritik yang menang. Penonton dan pengkritik boleh memberi ulasan sesuka hatinya tentang tindakan pemain, namun dia takkan pernah merasai apa yang dilalui dan dirasai pemain, selagi dia belum masuk ke dalam gelanggang menjadi pemain. 

     Dalam kehidupan, banyak gelanggang yang ketandusan pemain, atau mungkin penonton dan pengkritik lebih banyak daripada pemain. Di setiap gelanggang itu pasti ada ramai penonton dan pengkritiknya. Dalam kehidupan nyata, haruskah kita hanya menjadi penonton dan pengkritik tidak bertauliah sahaja. Gelanggang kehidupan ini penuh dengan berbagai peluang yang memerlukan pemain-pemain berpotensi dan bersesuaian. Kita perlu mengambil inisiatif  untuk menjadi seorang pemain yang berjaya dalam arena kehidupan.

     Samada  sedar atau tidak, kita semua memiliki status seorang pemain. Segala kegembiraan dan kesedihan, kemenangan dan kekalahan,  segala peraturan kita rasai di dalam gelanggang kehidupan ini. Ianya bukan pilihan tetapi perlu kita lalui sehinggalah ke tiupan wisel penamat.  Bagaimanakah agaknya keadaan apabila seseorang pemain itu memiliki minda penonton dan pengkritik? Bayangkan seorang penjaga gawang gol bolasepak berdiri di tepi tiang gol  saja dan mengkritik permainan rakan-rakan lain, lupa bahawa sebenarnya dia adalah seorang penjaga gol. Pintu  gol terbiar walau perlawanan masih berjalan. Penjaga gol terus mengkritik dan tidak mengendahkan pintu gol yang perlu dijaganya. Tertekanlah  rakan-rakan pemain lain yang serius dan bersungguh-sungguh bermain, terbeban dan terhakislah kewibawaan pemain pertahanan dan seluruh pasukan sehingga mungkin membawa kekalahan teruk kepada pasukan sendiri. 

     Dalam Gelanggang kehidupan sebenar, kita akan temui ramai orang sebegini. Tugas utamanya ialah mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain sehingga kerja sendiri terbiar dan kebajikan keluarga sendiri terabai. Sia-sialah semua ilmu dan pengalaman, kekuatan, potensi dan bakat kurniaan Tuhan yang  dimiliki. Akhirnya kita sendirilah yang akan terbeban dan terseksa tetapi kalau sudah memang menjadi pengkritik, bebanan dan keseksaan yang ditanggungnya juga akan dikritik dan diletakkan sebagai kesalahan pihak lain.

     Perlukah kita bertanya samada boleh menjadi pemain atau penonton sahaja ?. Persoalkanlah,  tetapi, hakikatnya kita adalah pemain!. Cuma jenis permainan dan gelanggangnya sahaja mungkin berbeza.  Kita mempunyai amanah dan tanggungjawab dalam menjadi pemimpin walaupun hanya kepada ahli keluarga sendiri. kita juga akan menjadi contoh tauladan dan ikutan kepada generasi baru untuk terus menyambung perjuangan dengan penuh dedikasi dan semangat juang yang tinggi. Kita punya berperanan dalam menganjur dan mempertahankan hak dan kebenaran serta menyebarkannya. Kitalah pemain yang memikul amanah dan tanggungjawab itu. Itu adalah perjanjian yang telah kita buat dengan “Yang maha Kuasa”.

     Kita hanya ada pilihan sama ada mahu melakukannya  dengan serius dan penuh komitmen atau mahu menjadi pemain yang  berusaha sambil lewa tetapi pandai memanipulasi potensi rakan-rakan lain. Kita tahu, kita ada kerja dan ianya  adalah kerja kita sendiri. Patutkah kita serahkan tugas kita kepada orang lain?. Mempertingkatkan ilmu, kemajuan, ekonomi diri dan keluarga adalah kerja kita. Mengajak orang lain ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah kewajipan kita.  Membantu dan membimbing rakan-rakan lain ke arah kemajuan adalah tugasan kita. Ianya bukan  persoalan kita perlu buat atau tidak, boleh buat atau tidak, tetapi kita mahu buat atau tidak. 

     Jika ditanya kepada kita “Siapakah yang akan memperjuang dan menegakkan  agama kita?”, “Siapakah yang bertanggungjawab memajukan diri, keluarga dan bangsa kita?” 

     Apakah jawapan kita?

Pengalaman peribadi:

     Seorang rakan kongsi saya tidak boleh membaca dan menulis kerana beliau tidak pernah pergi ke sekolah. Ke mana beliau pergi berjumpa dengan orang lain, beliau berterus terang tentang perkara itu. Walau bagaimanapun, beliau sebenarnya bukanlah tidak pandai malah mempunyai semangat dan cita-cita yang tinggi. Saya mengambil kata-kata beliau sebagai peringatan “ kekurangan saya bukanlah lesen untuk tidak berusaha dan hanya berserah nasib kepada Tuhan. Walaupun saya kekurangan tetapi saya tidak berhak untuk menyusahkan orang lain”. Hari ini kehidupan beliau berjaya !