MeeAmri

Saya seorang usahawan perniagaan MLM bersama Syarikat DXN Marketing Sdn. Bhd. yang memberi perkhidmatan membantu dan menyokong semua orang untuk memulakan perniagaan secara kecilan dan sampingan dari rumah secara PERCUMA.

Thursday, April 29, 2010

22. PENONTON ATAU PEMAIN


     Setiap permainan ada gelanggangnya. Untuk menjadi pemain dan bermain, kita harus masuk ke dalam gelanggang yang disediakan, merasa segala keseronokan, penat lelah dan susah payah di dalam permainan itu. Kita juga perlu mematuhi peraturan permainan sepenuhnya supaya tidak di keluarkan dari gelanggang permainan. Umpama bermain bola, kita harus berada di dalam gelanggang jika ingin berpeluang untuk menjaringkan gol. Jika kita menjadi penonton dan pengkritik, kita takkan merasai menjulang piala kemenangan. Pasukan A melawan pasukan B, salah satu pasukan akan menang tetapi bukan penonton atau pengkritik yang menang. Penonton dan pengkritik boleh memberi ulasan sesuka hatinya tentang tindakan pemain, namun dia takkan pernah merasai apa yang dilalui dan dirasai pemain, selagi dia belum masuk ke dalam gelanggang menjadi pemain. 

     Dalam kehidupan, banyak gelanggang yang ketandusan pemain, atau mungkin penonton dan pengkritik lebih banyak daripada pemain. Di setiap gelanggang itu pasti ada ramai penonton dan pengkritiknya. Dalam kehidupan nyata, haruskah kita hanya menjadi penonton dan pengkritik tidak bertauliah sahaja. Gelanggang kehidupan ini penuh dengan berbagai peluang yang memerlukan pemain-pemain berpotensi dan bersesuaian. Kita perlu mengambil inisiatif  untuk menjadi seorang pemain yang berjaya dalam arena kehidupan.

     Samada  sedar atau tidak, kita semua memiliki status seorang pemain. Segala kegembiraan dan kesedihan, kemenangan dan kekalahan,  segala peraturan kita rasai di dalam gelanggang kehidupan ini. Ianya bukan pilihan tetapi perlu kita lalui sehinggalah ke tiupan wisel penamat.  Bagaimanakah agaknya keadaan apabila seseorang pemain itu memiliki minda penonton dan pengkritik? Bayangkan seorang penjaga gawang gol bolasepak berdiri di tepi tiang gol  saja dan mengkritik permainan rakan-rakan lain, lupa bahawa sebenarnya dia adalah seorang penjaga gol. Pintu  gol terbiar walau perlawanan masih berjalan. Penjaga gol terus mengkritik dan tidak mengendahkan pintu gol yang perlu dijaganya. Tertekanlah  rakan-rakan pemain lain yang serius dan bersungguh-sungguh bermain, terbeban dan terhakislah kewibawaan pemain pertahanan dan seluruh pasukan sehingga mungkin membawa kekalahan teruk kepada pasukan sendiri. 

     Dalam Gelanggang kehidupan sebenar, kita akan temui ramai orang sebegini. Tugas utamanya ialah mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain sehingga kerja sendiri terbiar dan kebajikan keluarga sendiri terabai. Sia-sialah semua ilmu dan pengalaman, kekuatan, potensi dan bakat kurniaan Tuhan yang  dimiliki. Akhirnya kita sendirilah yang akan terbeban dan terseksa tetapi kalau sudah memang menjadi pengkritik, bebanan dan keseksaan yang ditanggungnya juga akan dikritik dan diletakkan sebagai kesalahan pihak lain.

     Perlukah kita bertanya samada boleh menjadi pemain atau penonton sahaja ?. Persoalkanlah,  tetapi, hakikatnya kita adalah pemain!. Cuma jenis permainan dan gelanggangnya sahaja mungkin berbeza.  Kita mempunyai amanah dan tanggungjawab dalam menjadi pemimpin walaupun hanya kepada ahli keluarga sendiri. kita juga akan menjadi contoh tauladan dan ikutan kepada generasi baru untuk terus menyambung perjuangan dengan penuh dedikasi dan semangat juang yang tinggi. Kita punya berperanan dalam menganjur dan mempertahankan hak dan kebenaran serta menyebarkannya. Kitalah pemain yang memikul amanah dan tanggungjawab itu. Itu adalah perjanjian yang telah kita buat dengan “Yang maha Kuasa”.

     Kita hanya ada pilihan sama ada mahu melakukannya  dengan serius dan penuh komitmen atau mahu menjadi pemain yang  berusaha sambil lewa tetapi pandai memanipulasi potensi rakan-rakan lain. Kita tahu, kita ada kerja dan ianya  adalah kerja kita sendiri. Patutkah kita serahkan tugas kita kepada orang lain?. Mempertingkatkan ilmu, kemajuan, ekonomi diri dan keluarga adalah kerja kita. Mengajak orang lain ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah kewajipan kita.  Membantu dan membimbing rakan-rakan lain ke arah kemajuan adalah tugasan kita. Ianya bukan  persoalan kita perlu buat atau tidak, boleh buat atau tidak, tetapi kita mahu buat atau tidak. 

     Jika ditanya kepada kita “Siapakah yang akan memperjuang dan menegakkan  agama kita?”, “Siapakah yang bertanggungjawab memajukan diri, keluarga dan bangsa kita?” 

     Apakah jawapan kita?

Pengalaman peribadi:

     Seorang rakan kongsi saya tidak boleh membaca dan menulis kerana beliau tidak pernah pergi ke sekolah. Ke mana beliau pergi berjumpa dengan orang lain, beliau berterus terang tentang perkara itu. Walau bagaimanapun, beliau sebenarnya bukanlah tidak pandai malah mempunyai semangat dan cita-cita yang tinggi. Saya mengambil kata-kata beliau sebagai peringatan “ kekurangan saya bukanlah lesen untuk tidak berusaha dan hanya berserah nasib kepada Tuhan. Walaupun saya kekurangan tetapi saya tidak berhak untuk menyusahkan orang lain”. Hari ini kehidupan beliau berjaya !